Tuesday, October 20, 2009

Kesal cara Maidam urus pajakan

SINAR HARIAN - 26/7/2009

KUALA TERENGGANU - Kira-kira 500 waris tanah wakaf Chenderong Concession, di Kemaman meluahkan rasa kesal terhadap cara Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menguruskan tanah tersebut.

Mereka mendakwa, pengurusan pajakan tanah wakaf milik mereka kurang sistematik menyebabkan hasil diperoleh sedikit selain kerugian berganda sehingga ada waris menerima pendapatan RM3 setahun.

Wakil pewaris Chenderong Con-cession, Tengku Mohammed Zainal Abidin Petra Tengku Besar Mahmud berkata, jika dibandingkan nilai semasa kayu balak dan kelapa sawit, jumlah diterima tidak masuk akal.

Menurutnya, keluasan tanah Chenderong Concession yang diiktiraf Maidam seluas 63,448.923 ekar dan berdasarkan perjanjian pajakan, hasil diperoleh daripada kayu balak, perlombongan, sewa tanah dan tanaman.

“Urusan memajukan tanah ini di bawah tanggungjawab Syarikat Tis ‘Ata ‘Ashae Sdn Bhd (TAA) selaku pemajak utama keseluruhan Chenderong Concession, tapi harapan untuk melihat tanah wakaf tersebut dimajukan dan dijaga dengan baik hancur.

“TAA bertindak ‘menjual’ dan menyerahkan segala hak serta kepentingan pajakan dan pengurusan tanah itu kepada SPPT Development Sdn Bhd (SPPT) tanpa mengenakan bayaran kepada pihak wakaf.

“Lebih mendukacitakan bagaimana Maidam selaku pentadbir tanah wakaf boleh membiarkan perkara ini berlaku tanpa mengenakan syarat yang lebih menguntungkan wakaf,” katanya di pekarangan Istana Kecil Dalam Kota, Istana Maziah, di sini, semalam.

Beliau berkata, waris tanah wakaf hairan dengan tindakan Maidam bersetuju menerima bayaran hasil pengeluaran kayu balak pada kadar RM3 hingga RM5 per tan, sedangkan kadar bayaran purata ialah sebanyak RM100 per tan.

“Kita juga mempertikaikan keputusan Maidam bersetuju menerima hanya 1.5 hingga 2 peratus jumlah pendapatan pemajak daripada tanaman diusahakan, sedangkan peneroka Felda memperoleh hasil berlipat ganda,” katanya.

Tengku Mohammed Zainal Abidin Petra berkata, pihaknya mempersoalkan kenapa Maidam atau TAA tidak memilih menguruskan harta wakaf itu dan jika ia diusahakan sendiri, pendapatan dihasilkan dianggarkan RM700 juta dengan nilai keuntungan RM365 juta.

Pihaknya turut mempertikai pemilikan saham Maidam dalam pemajak utama, TAA sedangkan pada masa sama Maidam adalah pentadbir tunggal wakaf dan ia jelas ada percanggahan kepentingan.

Tengku Mohammed Zainal Abidin Petra berkata, beliau membuat tuntutan di mahkamah agar perjanjian pajakan dan serah hak dibatalkan kerana semasa perjan-jian dibuat, tanah Chenderong Concession menjadi tanah wakaf.

“Kita juga menuntut supaya hak menguruskan harta wakaf ini dilaksanakan sepenuhnya oleh Maidam di bawah satu unit khas bersama wakil waris atau waris dibenarkan mengurus sendiri melalui penubuhan sebuah syarikat.

“Tuntutan mahkamah ini dilihat sebagai satu tindakan yang positif bertujuan menjaga hak dan kepentingan pewaris wakaf ini daripada terus dikhianati serta mengalami kerugian,” katanya.

link :
http://www.sinarharian.com.my/archive/260709/terengganu/story2988727.asp

No comments:

Post a Comment